Powered by Blogger.

Makcik itu merenung lama Balqis dari meja mereka. Dia menghampiri meja bersebelahan kami..berdiri dan memandang Balqis. Saya melemparkan


Balqis menegur-negur keluarga Filipino Muslim yang duduk selang dua meja daripada kami. Sepasang suami isteri, 2 anak kecil dan seorang makcik yang sudah agak berusia. 

Makcik itu merenung lama Balqis dari meja mereka. Dia menghampiri meja bersebelahan kami....berdiri dan memandang Balqis. Saya melemparkan senyuman kepadanya. Lantas dia bergerak lalu duduk di kerusi meja kami.
"Sister?" Tanyanya sambil jari ditunjukkan kpd Balqis dan saya. Bahasa inggerisnya tidak berapa jelas namun bersungguh sekali dia berusaha. Dia kelihatan begitu tertarik mahu tahu lanjut perihal Balqis. 

"No, she is my daughter," saya menjawap soalannya. Perkataan 'daughter' itu disebut dengan gaya orang Filipina menyebutnya....lebih mudah untuk difahaminya, saya kira.


"MasyaAllah," balasnya. Ada sesuatu yang tersimpan rapi dari nada sayunya. Ada sesuatu yang mahu dikatakannya...mungkin masalah bahasa menyekat dia dari berbicara lanjut.


Kemudian datang menantu perempuannya bercerita, "She misses her son. Her son is like your daughter. He couldn't walk and talk. She really misses her son when she saw your daughter. She is here to visit us in Makkah. She has been here for quite awhile." 

"March I go back. Next month March I go Philipines," sambung ibu mertuanya bersungguh sambil tersenyum. Ada unsur teruja dalam suaranya.
Subhanallah. Balqis telah membawa perasaan rindu seorang ibu pada anak istimewanya. Kehadiran Balqis di hadapan matanya telah membuatkan dirinya tidak sabar mahu pulang kepada anak syurgaNya. Dia melihat Balqis dan merindui nikmat bersama dengan anak istimewa. Ia satu nikmat yang sungguh berbeza dan istimewa.

Kami juga rasa begitu bila Balqis tidak bersama. Perasaan itu sukar untuk diperjelaskan....tetapi hati kami merasainya. Ia sukar difahami mereka yang tidak melaluinya. Ia perasaan yang 'aneh' tapi benar.
Bila berjauhan dengan anak istimewa bukanlah sesuatu yang melegakan hati seperti yang disangka. Disangka 'bebas' dari kepayahan menguruskan anak istimewanya; tidak perlu menghadapi ragam kerenah hariannya itu sedikit sebanyak melegakan hati ibubapa anak istimewa....barangkali begitulah telahan akal logik manusia. 


Namun, ia telahan yang silap sama sekali! Ibubapa anak istimewa sudah biasa dengan kehadiran anak istimewa mereka saban hari. Sudah biasa melalui hari-hari yang mencabar kesabaran dan tenaganya. Sudah menerima kehadiran anak istimewa sebagai permata dunia seisi keluarga. Permata yang sudah sebati dalam jiwa dan jadual harian mereka. Tanpa anak istimewanya di sisi, kehidupan terasa kosong dan tidak lengkap. Lalu hati tidak senang mahupun tenang dibuatnya.


Subhanallah. Begitulah perasaannya menjaga ahli syurga yang dijanjikanNya. Kepayahan membesarkannya itu suatu nikmat. Kekalutan menguruskannya itu suatu nikmat. Sesungguhnya anak istimewa itu adalah nikmat dunia dan akhirat buat ibubapa mereka. 


Makcik itu merindui anak istimewanya di tanahair...ketika dia bebas beribadah di bumi Mekah, ketika Kaabah begitu hampir. Syurga itu untuk mereka yang beramal, berusaha dan yakin padaNya tidak kira tempat dan masa. Boleh jadi syurga kita telah ada di depan mata, di dalam rumah kita.
~Dari Yanbu Kami Bercerita~
Tag : kisah
http://projekmssp.blogspot.my/2016/01/tahniah-dan-terima-kasih-kerana-anda.html

0 Komentar untuk "Makcik itu merenung lama Balqis dari meja mereka. Dia menghampiri meja bersebelahan kami..berdiri dan memandang Balqis. Saya melemparkan"

Back To Top